KEGAWATAN ekonomi global ternyata menggegarkan dunia. Penurunan nilai mata wang yang diamalkan dalam sistem ekonomi kapatalis memberi cabaran hebat kepada dunia sekarang. Dalam suasana sebegini, seharusnya semua pihak berfikir semula untuk menstabilkan nilai mata wang supaya tidak mengalami penurunan ketara apabila kegawatan ekonomi berlaku.
Emas sebenarnya mampu menjadi tukaran nilai mata wang yang kukuh serta produk pelaburan yang dapat melindung nilai daripada inflasi. Sejarah juga menunjukkan apabila berlaku inflasi harga emas akan naik, maka dolar Amerika dan mata wang utama dunia hilang nilai. Namun, harga emas akan terus stabil juga jika dolar Amerika mengalami pengukuhan semula.
Apa yang menarik, sesuatu bangsa akan lebih hebat dan cemerlang sekiranya memiliki emas kerana mampu menjadi aset yang paling bernilai tinggi.
Presiden Etika Emas Estet Sdn Bhd, Mohd Amin Supian, berkata sesuatu bangsa itu perlu mempunyai mata wang untuk membina ummah ke tahap lebih cemerlang.
Katanya, emas boleh dijadikan mata wang yang kekal dari segi tukaran nilainya. Dalam kegawatan ekonomi global sekarang, mata wang kertas boleh turun nilainya berbanding emas yang nilainya kekal.
"Jika kita memiliki emas lebih 10 tahun ia mampu membangunkan ummah yang berdaya saing tinggi dan hidup selesa walau dalam situasi mencabar seperti kegawatan ekonomi yang melanda dunia sekarang.
"Sains dan falsafah di sebalik kilauan emas itu menjadi lambang kemegahan sesuatu bangsa untuk sama-sama mencipta sejarah kemenangan ummah yang lebih gemilang pada masa depan.
"Kita yakin selepas beberapa tahun memiliki emas, individu atau masyarakat akan mempunyai nilai lindung harta dan ia mampu menolong sesama ummah tanpa meminta apa lebihan yang dipanggil riba," katanya.
Emas dikupas secara luas juga mempunyai unsur sains, falsafah terlindung, menjadi lambang kemegahan serta mampu mencipta sejarah gemilang kepada sesuatu bangsa yang gemilang.
Emas dan perak juga logam ciptaan Allah yang mempunyai kedudukan amat istimewa kepada manusia dan ia disebut di dalam al-Quran. Emas juga menjadi bahan digemari manusia sejak zaman berzaman kerana pelbagai fungsi serta mempunyai nilai tinggi dan bermutu.
Sejarah mengenai emas ini juga dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk menjadi alat pembayar zakat, mahar perkahwinan dan perhiasan, selain sebagai mata wang yang boleh diterima oleh semua bangsa.
Seseorang individu atau ummah akan lebih dihormati terutama jika memiliki emas untuk jangka masa tertentu kerana ia akan mempunyai nilai lindung harta dan sudah termaktub dalam sejarah ia tidak pernah jatuh nilainya, sebaliknya dapat menaikkan taraf hidup sesuatu ummah.
Kepentingan emas ini turut dinyatakan dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Antaranya, dalam Surah Ali Imran ayat 75, menyatakan, "Dan di antara ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harga sekali pun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar saja dia tidak akan mengembalikan kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya.
"Yang paling besar pahalanya (di sisi Allah) ialah dinar yang kamu belanjakan untuk (memenuhi keperluan dan membangunkan potensi potensi hidup) ahli keluarga kamu".
Rentetan sejarah emas ini amat panjang sehingga ia turut dicadangkan menjadi mata wang (dinar emas) di seluruh dunia terutama negara Islam.
Pada zaman kegemilangan Islam, iaitu sejak 1,400 tahun dulu, dinar emas tertera perkataan "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang" dengan berat standard emas dinar pada masa itu ialah 4.25 gram.
Dinar Emas juga mempunyai tarikh hijrah yang wujud kali pertama pada 74 Hijrah dan digunakan di seluruh empayar Islam termasuk Afrika dan Sepanyol. Bentuk dinar baru diperkenalkan pada 77 Hijrah (696-697 Masihi) oleh Khalifah Abd al-Malik ibn Marwan dan ia digunakan sepanjang pemerintahan Umayyah.
Dinar Emas juga diperluaskan lagi pada zaman Khalifa al-Rasyidin yang terus tersebar ke Afrika Utara, Andalusia hingga ke Bukhara, Delhi dan Asia Tenggara.
Mohd Amin berkata, Etika Emas Estet yang menjalankan aktiviti perniagaan jual beli emas di negara ini, mahu membawa masyarakat kembali ke asal dengan menjadikan bahan logam itu sebagai simpanan kekal serta sudah terbukti sejak zaman dulu bahan itu mampu membina tamadun dan kegemilangan Islam suatu ketika dulu.
Beliau berkata, sistem kredit boleh menyebabkan rakyat sesebuah negara berhutang dan terpaksa akur dengan sistem sedia ada serta menyebabkan sosioekonomi yang kurang sihat.
Emas menjadi mata wang antarabangsa yang sebenar dan bernilai berbanding mata wang kertas yang terhad penggunaan di sesebuah negara. Emas terbukti sepanjang zaman menjadi satu-satunya logam dan aset yang kalis inflasi dan tidak mungkin mengalami susut nilai.
Mohd Amin berkata, tidak mustahil, seperti yang pernah Malaysia cadangkan supaya penggunaan emas sebagai mata wang perdagangan dunia, yang pernah diperkenalkan ketika zaman Rasulullah, akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.
"Emas dipilih kerana sifat kimianya yang stabil dan nilainya tidak berubah. Jika emas digunakan dalam dinar emas pula mampu mengurangkan penipuan dan manipulasi mata wang," katanya.